KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan bayi kembar siam perempuan jenis pygopagus buat pertama kali, sekali gus membuktikan kemampuan kepakaran perubatan di negeri ini mengendalikan kes berisiko tinggi.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pembedahan bersejarah itu berjaya dilaksanakan pada 2 Julai lalu di Dewan Bedah Utama HWKKS menerusi kerjasama pasukan pelbagai disiplin, termasuk pakar dari Semenanjung Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pasangan bayi pramatang yang dilahirkan pada usia kandungan 32 minggu berkenaan bercantum di bahagian tulang punggung membabitkan sacrum, tiub saraf, bahagian bawah saluran pencernaan serta alat kelamin.
"Keadaan salah seorang bayi yang mengalami masalah jantung dan kegagalan buah pinggang menyebabkan pembedahan pemisahan perlu dilakukan ketika berusia 28 hari, lebih awal daripada tempoh kebiasaan iaitu antara empat hingga enam bulan," menurut kenyataan itu pada Isnin.
JKNS memaklumkan, pembedahan berkenaan membabitkan kepakaran pasukan Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak dan Saraf Tulang Belakang, Neurosurgeri, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi, selain jururawat serta kakitangan sokongan klinikal.
Menurutnya, hasil kerjasama semua pihak, kedua-dua bayi itu berjaya dipisahkan dan kini berada dalam keadaan stabil serta sedang menerima rawatan dan pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS.
JKNS berkata, kejayaan tersebut mencerminkan dedikasi serta komitmen warga kerja HWKKS dalam menyediakan rawatan terbaik kepada kanak-kanak yang menghidap anomali kongenital kompleks.
"Perluasan kepakaran khusus seperti ini di Sabah membolehkan kanak-kanak yang memerlukan rawatan kompleks mendapat akses kepada perkhidmatan lebih cepat tanpa perlu dirujuk ke hospital di luar negeri.
"Ia sekali gus mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang perlu ditanggung keluarga pesakit," katanya.

