Enam individu termasuk suami isteri diberkas dalam operasi dadah di Kudat
17:07 Jul 07, 2026  |  By SabahKini2
Enam individu termasuk suami isteri diberkas dalam operasi dadah di Kudat

JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata dalam operasi itu, polis merampas syabu seberat 161.49 gram yang dianggarkan bernilai RM16,000, selain menyita sebuah Perodua Myvi dan beberapa telefon bimbit.

KOTA KINABALU: Polis menahan enam individu termasuk pasangan suami isteri selepas membongkar kegiatan pengedaran dadah menerusi beberapa serbuan di Kudat, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata dalam operasi itu, polis merampas syabu seberat 161.49 gram yang dianggarkan bernilai RM16,000, selain menyita sebuah Perodua Myvi dan beberapa telefon bimbit.

Beliau berkata serbuan pertama pada kira-kira 7 malam di Kampung Tanjung Kapor membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 32 tahun.

"Hasil pemeriksaan terhadap seorang daripada suspek menemukan empat paket syabu seberat 60.54 gram yang disimpan di dalam sebuah beg," katanya ketika dihubungi hari ini.

Alhusin berkata dalam serbuan berasingan pada kira-kira 8 malam di belakang Dewan Kampung Muhibbah, polis menahan seorang wanita berusia 24 tahun bersama dua paket syabu seberat 100.95 gram.

Beliau berkata penahanan wanita itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga suaminya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada malam yang sama.

Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Comment