Polis bongkar sindiket edar dadah melalui kurier, rampas lebih RM233,000
15:07 Jul 06, 2026  |  By SabahKini2
Polis bongkar sindiket edar dadah melalui kurier, rampas lebih RM233,000

Dalam operasi kedua pada 2 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai mengambil bungkusan mengandungi 615.4 gram ketamin yang disembunyikan di dalam kotak pencetak.

SANDAKAN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar bekalan ke Sabah selepas menahan empat individu dalam tiga serbuan berasingan dengan rampasan dadah bernilai lebih RM233,000.

Operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil, berkata serbuan pertama pada 29 Jun lalu membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun selepas siasatan terhadap satu bungkusan Pos Laju yang disyaki mengandungi dadah.

Katanya, pemeriksaan ke atas bungkusan itu menemukan 207.44 gram pelet dipercayai ganja sebelum serbuan susulan di sebuah rumah di Taman Rimba menemukan 60 liter cecair hitam dipercayai mengandungi ganja serta peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

Nilai rampasan dalam kes itu dianggarkan RM16,595.20.

Dalam operasi kedua pada 2 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai mengambil bungkusan mengandungi 615.4 gram ketamin yang disembunyikan di dalam kotak pencetak.

Serbuan susulan di rumah suspek membawa kepada penahanan isterinya berusia 29 tahun serta rampasan tambahan melibatkan ketamin, serbuk jus berperisa yang disyaki mengandungi dadah, pil ekstasi dan Eramin 5 dengan nilai keseluruhan RM137,584.33.

Polis turut menyita sebuah Ford Ranger, Honda Civic, barang kemas, wang tunai RM12,300 dan beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.

Dalam operasi berasingan pada hari sama, seorang lelaki warga Filipina berusia 37 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar atau "runner" sindiket turut ditahan.

Pemeriksaan menemukan 394.50 gram ketamin yang disembunyikan di dalam sepasang kasut dengan anggaran nilai RM78,900.

Menurut Alhusin, kesemua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan awal dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Comment