KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 208 pendatang asing tanpa izin (PTI) dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri selama tiga hari, bermula 30 Jun hingga 2 Julai.
Dalam kenyataan di Facebook, JIM Sabah berkata sebanyak 26 operasi dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik bagi membanteras kehadiran PTI dan penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Seramai 1,187 individu diperiksa sepanjang operasi itu, dengan 208 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Warga Filipina merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 164 orang, terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 72 wanita dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan ialah 30 warga Indonesia, membabitkan 15 lelaki dan 15 wanita dewasa.
Selain itu, lima lelaki warga Pakistan, enam lelaki warga China dan tiga lelaki warga India turut ditahan.
JIM Sabah berkata operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi strategik bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PTI di negeri itu.
Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PTI melalui saluran rasmi JIM bagi membantu usaha penguatkuasaan.
Menurut JIM Sabah, kerjasama masyarakat penting dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara.

