BELURAN: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bayu Permai, Beluran, pada Khamis.
Mangsa berusia 49 tahun itu ditemukan di salah sebuah bilik dalam rumah yang didiaminya bersama ahli keluarga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.40 pagi.
Menurut beliau, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman.
Bagaimanapun, operasi berdepan kesukaran apabila rumah terbabit terletak kira-kira 18 kilometer dari balai bomba selain tiada laluan akses untuk jentera memasuki kawasan kejadian.
"Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan pam angkut dengan sumber air diperoleh dari kolam berhampiran.
"Mangsa ditemukan rentung di salah sebuah bilik dalam rumah sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Operasi pemadaman dan kerja-kerja memastikan kawasan selamat di lokasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari.

