Industri pelancongan Sabah perlukan kelonggaran subsidi diesel – Jafry
15:06 Jun 30, 2026  |  By SabahKini2
Industri pelancongan Sabah perlukan kelonggaran subsidi diesel – Jafry

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelaksanaan mekanisme sedia ada perlu mengambil kira faktor geografi negeri itu yang masih mempunyai banyak kawasan bergantung kepada diesel.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta memberi pertimbangan khas kepada industri pelancongan Sabah dalam pelaksanaan subsidi diesel bersasar susulan kebergantungan tinggi sektor itu terhadap bahan api berkenaan, khususnya di pulau-pulau pelancongan dan kawasan pedalaman.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelaksanaan mekanisme sedia ada perlu mengambil kira faktor geografi negeri itu yang masih mempunyai banyak kawasan bergantung kepada diesel sebagai sumber utama bekalan elektrik dan pengangkutan.

Beliau berkata, had penggunaan diesel sebanyak 200 liter sebulan ketika ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi pengusaha pelancongan, selain kementeriannya menerima pelbagai aduan daripada pemain industri termasuk pengusaha resort di pulau, pengendali bot pelancongan dan operator aktiviti marin.

"Sebahagian besar pulau pelancongan di Sabah tidak mempunyai sambungan kepada grid elektrik. Justeru, diesel bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan asas bagi menjana bekalan elektrik, pengangkutan laut, logistik dan keseluruhan operasi harian.

"Selain itu, sebahagian besar pengusaha pelancongan tidak layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menanggung peningkatan kos operasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Jafry, peningkatan kos operasi memberi tekanan kepada industri pelancongan yang masih berusaha memulihkan prestasi susulan jumlah pelawat yang belum kembali ke tahap optimum.

Katanya, keadaan itu turut menjejaskan margin keuntungan, aliran tunai serta hasil perniagaan pengusaha pelancongan di negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sektor pelancongan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel bersasar atau diwujudkan mekanisme khas yang lebih bersesuaian bagi pengusaha pelancongan di pulau dan kawasan pedalaman.

Jafry berkata, surat rasmi berhubung rayuan itu telah dihantar kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; serta Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan itu secara konstruktif bagi memastikan objektif rasionalisasi subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan industri pelancongan Sabah yang menjadi antara penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negeri.

Comment