Edar lebih 1kg syabu, petani Indonesia dihukum penjara seumur hidup
15:06 Jun 30, 2026  |  By SabahKini2
Edar lebih 1kg syabu, petani Indonesia dihukum penjara seumur hidup

Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

TAWAU: Seorang petani warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar lebih satu kilogram dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan pada tubuhnya menggunakan seluar dalam wanita dan bengkung.

Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh berusia 40 tahun itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengedar methamphetamine seberat 1,078.9 gram di kawasan pemeriksaan penumpang, Terminal Feri Tawau, pada jam 9.45 pagi, 11 Oktober 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Ketika rayuan hukuman, peguam bela, Jhassery P Kang, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan dengan alasan anak guamnya adalah pesalah kali pertama, mempunyai seorang anak perempuan untuk ditanggung serta menyesali perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kuantiti dadah yang dirampas serta kepentingan awam dalam membanteras jenayah pengedaran dadah.

Dalam penghakimannya, Steve berkata, tindakan tertuduh menyembunyikan dadah pada tubuh menggunakan seluar dalam wanita dan bengkung bagi cubaan membawanya keluar dari negara melalui Terminal Feri Tawau jelas menunjukkan keberanian serta tekadnya untuk melanggar undang-undang.

Beliau berkata, kesalahan itu bukan sahaja serius, malah memberi kesan besar kepada masyarakat dan justeru memerlukan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta pencegahan kepada pihak lain daripada terbabit dalam kegiatan sama.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan tertuduh pada 11 Oktober 2024.

Comment