KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat diberitahu bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami tekanan emosi yang berulang dalam beberapa bulan sebelum kematiannya, yang dikaitkan dengan hubungan sesama rakan di sekolah.
Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo, berkata penilaian itu dibuat berdasarkan semakan menyeluruh terhadap pelbagai bahan, termasuk laporan perubatan, hasil bedah siasat, nota prosiding inkues, catatan peribadi, rakaman audio, gambar, video, komunikasi digital serta temu bual bersama ibu bapa Allahyarham.
Menurut beliau, bahan yang dikaji menunjukkan petanda tekanan emosi Zara Qairina semakin ketara antara Mac hingga Mei 2025, apabila remaja itu dipercayai berdepan konflik dalam hubungan dengan rakan sebaya, ketidakstabilan emosi, kebimbangan terhadap pelajar senior serta pengalaman yang disifatkan sebagai memalukan.
"Menjelang Jun dan Julai 2025, bahan yang dikaji menunjukkan Zara Qairina mengalami tekanan emosi yang semakin serius, lebih sensitif terhadap disisih, semakin berwaspada dalam berinteraksi dengan orang lain serta merasakan persekitarannya semakin kurang selamat dari segi emosi," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Wong, yang merupakan saksi ke-75 dalam inkues berkenaan, berkata tekanan emosi yang dialami Allahyarham berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk kerentanan emosi serta tekanan kehidupan di sekolah berasrama.
Beliau berkata keadaan itu dipercayai menjadi semakin buruk susulan salah faham berulang, khabar angin, penyisihan sosial, konflik sesama rakan, tuduhan serta pengalaman yang mungkin ditafsirkan oleh Allahyarham sebagai sesuatu yang memalukan, khususnya berkaitan kejadian pada 15 Julai 2025.
Menurutnya, kejadian pada hari berkenaan penting kerana berlaku ketika Allahyarham berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil dan dipercayai melibatkan satu dakwaan konfrontasi di asrama sekolah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bukti yang ada lebih menyokong rumusan bahawa Allahyarham berdepan tekanan interpersonal yang berterusan serta beban emosi akut dalam konteks pengalaman di sekolah berasrama penuh.
Dr Wong turut mengakui beliau tidak dapat membuat kesimpulan muktamad mengenai keadaan mental sebenar atau niat khusus Allahyarham kerana penilaian dilakukan selepas kematiannya tanpa pemeriksaan psikiatri secara langsung.
Menyentuh hubungan keluarga, beliau berkata rakaman audio menunjukkan Allahyarham mempunyai hubungan yang rapat dengan ibunya, yang menjadi sumber utama sokongan emosi serta tempat meluahkan perasaan.
Walaupun terdapat catatan yang menunjukkan kemarahan atau kekecewaan terhadap ibunya pada masa tertentu, beliau berkata tiada bukti yang menunjukkan berlakunya keretakan hubungan atau pengabaian emosi antara mereka.
Sebaliknya, hubungan Allahyarham dengan bapanya dilihat lebih terbatas dan tidak menentu dalam tempoh yang dikaji.
"Berdasarkan bahan yang dikaji, bapa arwah tidak dilihat sebagai sosok utama tempat arwah bergantung dari segi emosi atau individu yang sentiasa hadir secara konsisten dalam kehidupannya," katanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.
Prosiding inkues bersambung pada sebelah petang dengan keterangan daripada saksi yang sama.

