KOTA KINABALU: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) melancarkan portal berita Kinabalu Media sebagai medium penyampaian maklumat komuniti dan kerajaan yang memberi tumpuan kepada isu serta perkembangan semasa di Sabah.
Pelancaran portal berita itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 KOPEKS di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.
Pengerusi KOPEKS, Saat Awang Damit, berkata pelancaran media rasmi itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun penubuhan KOPEKS yang ke-63 tahun ini.
Katanya, Kinabalu Media akan beroperasi menerusi dua platform, iaitu portal dalam talian yang dikemas kini setiap hari serta penerbitan akhbar fizikal yang akan diterbitkan sebulan sekali.
“Melalui inisiatif ini, kami mahu mewujudkan saluran berita komuniti dan kerajaan yang menyampaikan maklumat sahih, berwibawa serta dekat dengan rakyat.
“Dengan slogan ‘Akhbar Komuniti’, Kinabalu Media diharap bukan sahaja menjadi medium penyampaian berita, malah turut menyumbang kepada perkembangan industri media di Sabah,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.
Akhbar berkenaan akan diterbitkan sebulan sekali pada peringkat awal, manakala kandungannya turut boleh diakses secara dalam talian.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui.

