Hajiji mahu koperasi Sabah jadi pemangkin ekonomi inklusif dan mampan
17:06 Jun 18, 2026  |  By SabahKini2
Hajiji mahu koperasi Sabah jadi pemangkin ekonomi inklusif dan mampan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam landskap ekonomi dan teknologi yang semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata.

KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Sabah perlu berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam landskap ekonomi dan teknologi yang semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional semata-mata.

Sebaliknya, katanya, koperasi perlu terus berinovasi bagi memastikan daya saing serta kelangsungan pertumbuhan organisasi.

"Transformasi perniagaan akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan, selain memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan semasa.

"Kerajaan negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuhkan tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, KOPEKS wajar dijadikan contoh kerana berjaya melaksanakan transformasi perniagaan daripada hanya menjalankan aktiviti kredit kepada pelbagai sektor strategik yang berpotensi tinggi.

Menurut beliau, antara bidang yang diceburi koperasi itu termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu, kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan penerbitan Kinabalu Media sebagai bukti komitmen KOPEKS dalam memperkukuh budaya ilmu dan menyediakan platform penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat.

Katanya, meskipun media digital berkembang pesat, penerbitan bercetak masih memainkan peranan penting dalam menyediakan laporan yang lebih mendalam, analisis berkualiti serta dokumentasi pelbagai isu semasa.

"Kerajaan negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negeri serta memperkukuhkan perpaduan rakyat, termasuk menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0," katanya.

Menyentuh sektor kesihatan, Hajiji berkata langkah KOPEKS mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan anggota menikmati kemudahan rawatan pada kadar lebih berpatutan.

Beliau turut menyambut baik perancangan koperasi itu untuk menubuhkan pusat dialisis memandangkan keperluan terhadap perkhidmatan berkenaan semakin meningkat di Sabah.

Menurutnya, jumlah pesakit buah pinggang di negeri itu kini melebihi 2,000 orang.

"Kerajaan negeri sendiri telah menyumbang 100 unit mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah pada tahun 2024.

"Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan nanti menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu meringankan beban pesakit," katanya.

Mengulas langkah KOPEKS meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, Hajiji berkata usaha itu merupakan strategi tepat untuk membuka peluang perdagangan rentas sempadan dan memperluaskan pasaran produk tempatan.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan KOPEKS atas pencapaian keuntungan yang memberangsangkan bagi tahun 2025 serta kejayaan mengekalkan pembayaran dividen kepada anggota secara konsisten sejak 20 tahun lalu.

Beliau turut menyeru lebih ramai penjawat awam, khususnya generasi muda, untuk menyertai KOPEKS bagi memperkukuhkan kedudukan koperasi itu sebagai model koperasi berjaya yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan Sabah secara menyeluruh.

Comment