Wanita 29 tahun dilapor hilang ditemukan meninggal dunia
15:06 Jun 16, 2026  |  By SabahKini2
Wanita 29 tahun dilapor hilang ditemukan meninggal dunia

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mayat mangsa berusia 29 tahun itu ditemukan orang awam sebelum polis menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira jam 9.05 pagi.

TAWAU: Kehilangan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan terapung di sebuah kolam ikan di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mayat mangsa berusia 29 tahun itu ditemukan orang awam sebelum polis menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira jam 9.05 pagi.

Menurut beliau, sepasukan pegawai dan anggota polis kemudian dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan adalah seorang wanita berusia 29 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian dan pada tubuh badan mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan, kesan pergelutan atau petunjuk yang menunjukkan wujud unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan lanjut mendapati mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar dari rumah dan tidak pulang semula.

Jasmin berkata, mangsa juga difahamkan merupakan seorang OKU.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk menjalani bedah siasat.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada tanda kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.

"Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan pihak polis sedang menunggu keputusan ujian makmal lanjut.

"Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.

Comment