Sabah rekod penurunan 5.9% penagih dadah pada 2025
15:06 Jun 16, 2026  |  By SabahKini2
Sabah rekod penurunan 5.9% penagih dadah pada 2025

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha bersepadu pelbagai agensi dalam membendung penawaran dan permintaan dadah di negeri itu.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan 5.9% jumlah penagih dadah yang dikesan pada 2025 apabila seramai 8,665 individu dikenal pasti terlibat, berbanding 9,607 orang pada tahun sebelumnya.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha bersepadu pelbagai agensi dalam membendung penawaran dan permintaan dadah di negeri itu.

Menurutnya, Sabah turut mencatatkan kadar terbaik di negara ini tahun lalu dengan merekodkan kadar penagih dan penyalah guna dadah serta bahan seramai 230 orang.

“Ia menunjukkan keberkesanan tindakan bersepadu semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan terhadap dadah dan bahan di negeri Sabah,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Hajiji turut memuji usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam memperkasa komuniti melalui program pencegahan dadah di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, kerajaan negeri menghargai inisiatif AADK menyantuni masyarakat di Pulau Banggi, Kudat menerusi Program Jerayawara Jelajah Aspirasi Bebas Dadah bersama Skuad Antidadah 2 Roda baru-baru ini.

Pada masa sama, Hajiji mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah atas kejayaan merampas sejumlah besar dadah menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah.

“Ini menunjukkan kesungguhan tindakan membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan PDRM selari dengan aspirasi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha membanteras ancaman dadah bagi memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Menurutnya, komitmen itu selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan matlamat mencapai agenda Dadah Terkawal 2030.

Mesyuarat MTMD Sabah turut membincangkan cadangan memperluaskan program tempat kerja bebas dadah dalam sektor awam serta memperkasa Skuad Antidadah Negeri Sabah.

Comment