SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas lebih empat tan barang kawalan bersubsidi bernilai RM13,137.28 dalam satu operasi penguatkuasaan di daerah ini pada Rabu.
KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan itu membabitkan 3,979.8 kilogram tepung gandum pelbagai jenama serta 1,128 kilogram gula pasir kasar yang disimpan di sebuah premis tanpa lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan susulan serahan kes oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak yang menjalankan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sekitar Pekan Semporna.
Antara barang yang disita ialah 59 kotak Tepung Gandum Cap Kuda seberat 590 kilogram, 249 kotak Tepung Gandum Cap Lili seberat 2,539.8 kilogram dan 34 karung Tepung Gandum Cap Kuda seberat 850 kilogram.
Turut dirampas ialah 47 bundle gula pasir kasar jenama Prai dengan berat keseluruhan 1,128 kilogram.
Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
KPDN berkata, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Menurut kementerian itu, pihaknya memandang serius sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan bersubsidi dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan sampai kepada golongan yang berhak.
KPDN turut mengingatkan individu dan syarikat agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan bekalan terkawal.
Bagi individu yang disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

