Empat lot kedai terbakar di Kota Kinabalu, tiada mangsa dilaporkan
16:06 Jun 09, 2026  |  By SabahKini2
Empat lot kedai terbakar di Kota Kinabalu, tiada mangsa dilaporkan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 9 malam sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian.

KOTA KINABALU: Empat lot kedai di kawasan Asia City di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada malam Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 9 malam sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, anggota bomba tiba di lokasi enam minit kemudian selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira empat kilometer.

“Kebakaran melibatkan empat lot kedai jenis kekal berkeluasan 40 x 80 kaki persegi dan dianggarkan memusnahkan sekitar 80 peratus daripada keseluruhan premis yang terlibat.

“Operasi pemadaman dijalankan sebaik pasukan tiba bagi mengelakkan api merebak ke bangunan berhampiran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seramai 36 anggota bersama beberapa aset dan jentera dikerahkan untuk mengawal kebakaran berkenaan.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan lima aliran pancutan sepanjang 500 kaki dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran.

Menurut Ordine, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.08 malam selepas usaha berterusan pasukan di lokasi.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Lintas yang menghantar 12 anggota serta BBP Penampang dengan kekuatan lima anggota.

Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.37 malam.

Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Comment