JKDM Sabah rampas kokain, ganja bernilai hampir RM3 juta di Tawau
16:06 Jun 09, 2026  |  By SabahKini2
JKDM Sabah rampas kokain, ganja bernilai hampir RM3 juta di Tawau

Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata rampasan itu dilakukan selepas pemeriksaan terhadap dua kotak mencurigakan di sebuah premis kurier pada 21 Mei kira-kira 11.45 pagi.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup kokain dan ganja bernilai hampir RM3 juta yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier di Tawau bulan lalu.

Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata rampasan itu dilakukan selepas pemeriksaan terhadap dua kotak mencurigakan di sebuah premis kurier pada 21 Mei kira-kira 11.45 pagi.

Katanya, pemeriksaan menemukan 10 plastik putih mengandungi ketulan disyaki kokain dan 10 bungkusan aluminium foil berwarna jingga yang mengandungi bunga kering disyaki ganja.

“Ujian saringan awal mendapati kedua-dua bahan itu memberikan tindak balas positif terhadap dadah berbahaya yang dipercayai kokain dan ganja,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah.

Menurutnya, rampasan membabitkan 4.6 kilogram kokain bernilai RM2.05 juta dan 10.65 kilogram ganja bernilai RM851,712.80, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM2.9 juta.

Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Ahmad Taufik berkata, penghantaran dadah itu dipercayai menuju ke Lahad Datu sebelum berjaya dipintas pasukan penguat kuasa.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu serta rangkaian sindiket yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM Sabah turut merekodkan beberapa kejayaan operasi membabitkan rampasan rokok dan minuman keras tidak berkastam di beberapa daerah.

Antara rampasan yang direkodkan ialah 279,400 batang rokok tidak berkastam bernilai RM251,618.80 di Keningau, 15,840 liter bir bernilai RM341,946 di Pelabuhan Sepanggar dan 4,992 liter bir bersama sebuah lori di Kuala Penyu.

JKDM turut merampas 61,200 batang rokok pelbagai jenama yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan utiliti sukan di Tawau serta sebuah kereta yang dipercayai tidak berkastam di Kampung Tinagat.

Secara keseluruhan, nilai rampasan bagi tujuh kes berasingan melibatkan dadah, rokok, minuman keras dan kenderaan melebihi RM4 juta.

Comment