700 pelancong tinggalkan pulau peranginan selepas amaran gempa
20:06 Jun 08, 2026  |  By SabahKini2
700 pelancong tinggalkan pulau peranginan selepas amaran gempa

Arahan berkenaan membabitkan pelancong yang berada di beberapa pulau peranginan utama di Semporna, termasuk Pulau Mabul, Mataking, Pom Pom dan Bohey Dulang.

SEMPORNA: Kira-kira 700 pelancong tempatan dan asing diarahkan kembali ke daratan selepas gempa bumi bermagnitud 7.9 yang melanda selatan Filipina pagi tadi turut dirasai di beberapa kawasan di pantai timur Sabah.

Arahan berkenaan membabitkan pelancong yang berada di beberapa pulau peranginan utama di Semporna, termasuk Pulau Mabul, Mataking, Pom Pom dan Bohey Dulang.

Tinjauan di Jeti Pelancongan Semporna mendapati pengusaha bot, resort dan pemandu pelancong segera memaklumkan pelancong mengenai arahan keselamatan selain mengatur perjalanan pulang ke tanah besar.

Beberapa pemandu pelancong turut dilihat memberi penerangan kepada pelancong asing mengenai situasi semasa susulan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Keadaan di jeti juga menjadi lebih sibuk daripada biasa apabila pelancong mula berkumpul untuk mendapatkan pengangkutan keluar dari pulau.

Pada masa sama, rombongan media yang dijadualkan membuat liputan sempena Hari Laut Sedunia di Pulau Mabul membatalkan perjalanan atas faktor keselamatan.

Mereka sepatutnya menyertai program komuniti pencinta laut di perairan pulau berkenaan sebelum mengambil keputusan berpatah balik dan meneruskan tugasan di kawasan berhampiran tanah besar Semporna.

Beberapa penduduk di Tawau dan Semporna turut melaporkan merasai gegaran selama beberapa saat sehingga menyebabkan perabot dan barangan di dalam rumah bergetar.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada jam 7.37 pagi di kedudukan 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur, kira-kira 97km di selatan Koronadal City, Filipina.

Menurut MetMalaysia, gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 50km.

Comment