16 Ahli UMNO Pro PPBM Ke Mahkamah Terlucut Keahlian Secara Automatik
08:04 Apr 21, 2018  |  By SabahKini2
16 Ahli UMNO Pro PPBM Ke Mahkamah Terlucut Keahlian Secara Automatik

“Mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan secara automatik hilang keahlian bawah fasal 20.7 perlembagaan Umno.”

PUTRAJAYA: Keahlian UMNO bagi 16 orang yang bertindak memfailkan semakan kehakiman untuk membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam dengan rasminya diumumkan sebagai terlucut dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu selaras dengan Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO yang secara jelas telah menggariskan bahawa mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan lucut keahliannya secara automatik.

"Hal ini juga selari dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan, yang TIDAK MEMBENARKAN apa juga perkara bersangkutan parti sama ada hal ehwal pengurusan, kewangan atau apa jua yang berkaitan dengan pentadbiran parti daripada dibawa ke mahkamah.

"Kita tahu ada dalang terbabit dalam perkara ini. Bagaimanapun, kita sememangnya sentiasa bersedia untuk apa jua kemungkinan.

"Dalang di sebalik perkara ini adalah orang luar (pembangkang). Mereka tahu bahawasanya mereka lemah dan akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebab itu mereka akan cuba guna pelbagai cara untuk menidakkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, daripada mengeluarkan watikah calon.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa tiada sebarang masalah bagi Pengerusi BN untuk menandatangani watikah untuk calon," sambung beliau.

Ujar Setiausaha Agung UMNO itu lagi, pihaknya telah bertindak berdasarkan peraturan dan memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menangguhkan pemilihan parti, dan agensi itu sudah pun memberi kelulusan mengenainya.

"Kalau ROS tak beri (kelulusan), kita terpaksa buatlah (pemilihan)," tambahnya.

Semalam, 16 individu terbabit dilaporkan telah memfailkan semakan kehakiman bagi memohon agar parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak tahun 2013.

Pada 5 Mac lalu, ROS dalam satu kenyataan telah mengesahkan yang permohonan UMNO untuk menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi untuk 2017 itu diluluskan.

Kelulusan tersebut selaras dengan peruntukan perlembagaan parti itu.

Sementara itu Peguam UMNO Datuk Hafarizam Harun berkata 16 ahli yang mengheret Umno ke mahkamah berkenaan isu pemilihan dalaman parti tiada “locus standi” mengikut undang-undang dan perlembagaan parti.

Penasihat undang-undang Umno itu menjelaskan ada seksyen dan fasal yang menangani perkara sebegini sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung Parti, Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak membenarkan apa jua perkara parti sama ada hal ehwal pengurusan, kewangan dan yang berkaitan dengan pentadbiran parti dibawa ke mahkamah.

“Mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan secara automatik hilang keahlian bawah fasal 20.7 perlembagaan Umno.” katanya.

Beliau menjelaskan kesan daripada seksyen dan fasal tersebut akan menyebabkan ahli terbabit tergugur keahlian maka tiada hak atau kapasiti untuk membawa tindakan atau tampil ke mahkamah.

“Bila tidak ada ‘locus standi’ maka tidak ada asas,” katanya.

“Justeru tidak timbul Umno adalah parti haram kerana tidak buat mesyuarat. Umno diberi lanjutan masa oleh JPPM untuk mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya 19 April 2019.”

 

1 Comment