PETRONAS perkukuh kerjasama dengan Sabah melalui MPM
18:07 Jul 04, 2025  |  By SabahKini2
PETRONAS perkukuh kerjasama dengan Sabah melalui MPM

Langkah itu mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan landskap tenaga Sabah secara kolaboratif, mampan dan berpaksikan nilai jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

KOTA KINABALU: PETRONAS melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri Sabah dengan memeterai beberapa perjanjian penting sempena Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) 2025.

Langkah itu mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan landskap tenaga Sabah secara kolaboratif, mampan dan berpaksikan nilai jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Bacho Pilong berkata, pencapaian itu mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang PETRONAS dengan Sabah yang dibina atas asas kepercayaan dan visi bersama untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi tenaga negeri secara bertanggungjawab.

“Kita akan terus memacu pembangunan mampan, memperkukuh keselamatan tenaga dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk manfaat Sabah dan negara,” katanya.

Antara pencapaian utama yang diumumkan ialah penyerahan rasmi Strategi Gas Sabah, hasil inisiatif bersama PETRONAS dengan kerajaan negeri Sabah. 

Strategi ini dibangunkan di bawah penyelarasan Sabah Joint Coordination Committee (JCC) menerusi sebuah Pasukan Petugas Bersama (Joint Task Force) yang terdiri daripada PETRONAS, SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), serta Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE).

Strategi itu berpaksikan kepada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai pada 2021 dan merangkumi pelan jangka panjang yang berstruktur bagi memastikan bekalan gas yang mampan dan mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat serta merangsang pertumbuhan perindustrian negeri secara lestari.

Turut dimeterai ialah Perjanjian Penilaian Teknikal (TEA) bagi Lembangan Layang-Layang yang terletak di luar pesisir pantai Sabah, meliputi kawasan perairan seluas 44,500 kilometer persegi. 

Perjanjian ini dimeterai bersama ConocoPhillips Malaysia New Ventures Ltd (COP) dan PERTAMINA Hulu Energi (PERTAMINA) sekali gus membuka laluan kepada kajian geologi menyeluruh dan penilaian potensi kawasan itu.

Inisiatif ini adalah satu lagi langkah penting PETRONAS dalam menggiatkan usaha eksplorasi di kawasan sempadan (frontier basins) dan membangunkan potensi tenaga baharu di Sabah.

PETRONAS juga memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama DIALOG Resources Sdn Bhd (DIALOG) untuk meneruskan pembangunan Kluster Mutiara yang terletak di perairan Pantai Timur Sabah.

Kluster Mutiara adalah aset lapangan kecil yang ditawarkan melalui Malaysia Bid Round 2025 dan telah dianugerahkan kepada DIALOG pada Jun lalu. 

Pembangunan kluster ini bakal menggunakan pendekatan kos efektif dengan memanfaatkan semula peralatan dan bahan sedia ada, sekali gus mempercepatkan penghantaran gas pertama ke pasaran.

PETRONAS turut melabur dalam program pemerolehan data seismik di kawasan Pantai Timur Sabah untuk mendalami pemahaman geologi dan mempercepatkan aktiviti penerokaan bagi membuka peluang baharu pertumbuhan pengeluaran tenaga negara.

Sebagai pengurus utama sumber petroleum negara, MPM terus memainkan peranan penting dalam mengurus aktiviti huluan industri petroleum dan memastikan kesinambungan bekalan tenaga yang mampan dan berdaya tahan untuk Malaysia

Comment