KOTA KINABALU: Pemakaian tali pinggang keledar ke atas pemandu, penumpang bas ekspress dan bas persiaran adalah wajib sebagai langkah mengurangkan risiko kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, pelaksanaan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar itu telah bermula pada 1 Julai lalu sebagai usaha penting memastikan keselamatan penumpang sentiasa terpelihara sepanjang perjalanan.
"Pengendali syarikat dan pemandu bas juga memainkan peranan dengan memberi penerangan dalam memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum perjalanan bermula.
"Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian sekiranya berlaku kemalangan selain mengelakkan penumpang tercampak akibat impak pelanggaran.
"Operasi penguatkuasaan sedang dijalankan secara aktif di terminal bas, hentian rehat dan lebuh raya di seluruh malaysia termasuk penyamaran dalam bas. Penumpang juga boleh membuat aduan kepada pemandu bas sekiranya tali pinggang dalam keadaan tidak baik.
"Kegagalan mematuhi arahan berkenaan pemandu, penumpang dan pengendali syarikat akan dikenakan notis saman sebanyak RM300 Ratus.
"Selain itu advokasi secara berterusan akan dilakukan oleh JPJ bagi mendidik orang ramai sentiasa mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar bas ekspress dan bas persiaran," katanya kepada media semasa Operasi Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekpress dan Bas Persiaran di Teminal Bas KK Sentral, pada Jumaat.
Jelas Harris, JPJ Negeri Sabah komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara seterusnya bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya.
"Bagi meningkatkan pengurusan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar JPJ Sabah telah melibatkan 286 orang anggota penguatkuasa.
"Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya negeri sabah bagi tempoh tahun 2020 hingga Mei 2025 bagi kemalangan maut sebanyak 1,315 kes dan jumlah keseluruhan kemalangan 93,189 kes, angka ini membuktikan keperluan mendesak memperketatkan pematuhan aspek keselamatan," jelas beliau.
Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar untuk menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama e-aduan selain SISPAA dalam membantu JPJ Negeri Sabah mengambil tindakan pantas kepada pemandu yang tidak mematuhi undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.