KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) iaitu pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang dibiayai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menurutnya, pusat berkenaan dibangunkan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan NADMA yang akan memastikan tindakan lebih pantas dan tersusun ketika berlakunya bencana.
"SDCC yang terletak di Tingkat 4, Blok A Menara Kinabalu akan berfungsi sebagai platform bersepadu bagi menyelaras tindakan agensi keselamatan dan penyelamat, NGO serta badan penyelidikan semasa berlakunya bencana," katanya pada majlis pelancaran SDCC di sini hari ini.
Pusat itu dilengkapi dengan teknologi maklumat dan komunikasi terkini termasuk sistem persidangan video dan pangkalan data komprehensif untuk pengumpulan dan penganalisisan maklumat berkaitan bencana.
Pusat bernilai RM750,000 itu mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
Turut hadir pada majlis pelancaran iru, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif; Timbalan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Ag Shahminan Ag Sahari selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri; dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Mohd Yusoff Samad.