PENAMPANG: Sepasang suami isteri berdepan hukuman mati selepas ditahan bersama dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Kampung Nosoob, Jalan Towering, di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dalam serbuan jam 4.30 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menahan lelaki berusia 55 tahun dan isterinya, 54 tahun, sebelum menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih dipercayai syabu seberat 50.5 gram.
Katanya, pihaknya turut merampas dua buah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1,800 dalam serbuan ini.
“Nilai rampasan dadah dianggarkan RM2,500 dan hasil saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama. Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membanteras jenayah di daerah ini.