KOTA KINABALU: Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) yang berlangsung di negeri ini perlu platform terbaik membincangkan pelbagai isu termasuk berkaitan keselamatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut berharap penganjuran SKAW mampu memperkasa askar wataniah sebagai antara benteng pertahanan negara.
Beliau yang juga Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Sabah, turut menyokong kegiatan askar wataniah di negeri ini.
"Saya amat mengalu-alukan Sidang Komander Askar Wataniah ini diadakan di Sabah. Saya dimaklumkan antara tujuan persidangan atau mesyuarat ini adalah untuk membincangkan hal-hal pemerkasaan askar wataniah antaranya dari segi pentadbiran dan aspek logistik.
"Sebagai negeri berhampiran dengan beberapa negara jiran, sudah pasti aspek keselamatan amat kita titik beratkan. Ini bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini termasuk memberi jaminan kepada keselamatan rakyat di Sabah.
"Malah, dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri menerusi pelan pembangunan kami iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita amat perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian," katanya. Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam Sidang Komander AskarWataniah (SKAW) Siri 37/2025 anjuran kerajaan negeri di sini pada Rabu.
Hajiji berkata, pelaksanaan Hala Tuju SMJ bukan saja memberi penekanan dalam tiga sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, tetapi juga berkaitan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
"Dalam aspek kesejahteraan rakyat, pelbagai langkah proaktif secara berterusan dilaksanakan antaranya menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar, menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan pendidikan bagi membantu anak-anak Sabah meneruskan persekolahan mereka. "Saya amat memberi penekanan dalam aspek keselamatan agar lebih banyak lagi pembangunan dapat dibawa ke negeri ini," katanya.
Beliau turut berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan untuk melaksanakan persidangan SKAW di Sabah.
"Majlis ini bukan saja untuk meraikan ahli SKAW, tetapi ia juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Angkatan Tentera Malaysia amnya dan askar wataniah khasnya," katanya.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin; Raja Muda Perlis selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Duli Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan isteri, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Komander Rejimen 512 Askar Wataniah Tengku Seri Temenggong Raja Brigedier Jeneral Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud AlMuktafi Billah Shah, dan isteri, Toh Puan Seri Zuriana Ismail.