PAPAR: Hasrat seorang lelaki untuk menjolok buah mangga berakhir tragedi apabila dia maut akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Bambangan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 42 tahun dipercayai sedang berada di atas pokok dan menggunakan galah besi untuk mengambil buah mangga sebelum terkena kabel elektrik berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.01 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas pokok dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menurunkan mangsa menggunakan tangga dan tali penyelamat selepas bekalan elektrik dihentikan oleh pihak Sabah Electricity (SE),” katanya dalam kenyataan, semalam.
Rozlan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.29 petang setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud,” katanya.