Hajiji gesa rakyat Sabah kukuhkan persaudaraan dan perpaduan
17:06 Jun 06, 2025  |  By SabahKini2
Hajiji gesa rakyat Sabah kukuhkan persaudaraan dan perpaduan

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta umat Islam di negeri ini untuk terus memperteguhkan keimanan dan ketaqwaan terhadap kebesaran dan keagungan Tuhan, serta menghayati kisah dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.

KOTA KINABALU: Seluruh rakyat Sabah diminta untuk bersama-sama terus memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga meminta umat Islam di negeri ini untuk terus memperteguhkan lagi keimanan dan ketaqwaan terhadap kebesaran dan keagungan Tuhan, serta menghayati kisah dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS. 

“Naratif AidilAdha yang berkait rapat dengan kisah dan sejarah amalan korban, melibatkan dua figura besar dalam Islam iaitu Nabi Ibrahim AS bersama anakanda baginda, Nabi Ismail AS membawa pengertian dan falsafahnya yang tersendiri, mencakupi tiga aspek utama dalam kehidupan umat manusia, iaitu perjuangan, pengorbanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT.

“Justeru, AidilAdha yang jatuh sempena bulan Haji ini, merupakan bulan suci yang di dalam mengandungi segala rahsia yang terkait dengan apa yang disebut sebagai Habluminallah dan Habluminanaas, iaitu hubungan insaniah dengan Tuhan yang Maha Pencipta, dan hubungan kita sesama umat manusia.

“Semoga sambutan AidilAdha kali ini akan terus memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan kita rakyat Malaysia di negeri ini,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1446H, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat, di mana jua berada.

Comment