FESKA 2025 bukti warisan budaya membentuk jati diri dan perpaduan
16:05 May 28, 2025  |  By SabahKini2
FESKA 2025 bukti warisan budaya membentuk jati diri dan perpaduan

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda yang menyifatkan FESKA 2025 sebagai bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform pendidikan nilai dan kasih terhadap warisan budaya tempatan.

KOTA MARUDU: Festival Kaamatan Sekolah (FESKA) 2025 yang berlangsung meriah di Sekolah Kebangsaan Pekan Lama Kota Marudu telah membuktikan betapa pentingnya warisan budaya dalam membentuk jati diri dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda yang menyifatkan FESKA 2025 sebagai bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform pendidikan nilai dan kasih terhadap warisan budaya tempatan.

Redonah berkata, dalam dunia yang serba moden ini, mengekalkan identiti budaya bukan sahaja penting, malah satu amanah. 

"FESKA 2025 adalah satu manifestasi cinta terhadap budaya Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR). 

"Ia juga menyatukan pelajar pelbagai kaum di bawah satu bumbung perpaduan," katanya ketika merasmikan FESKA 2025 SK Pekan Lama, di sini semalam.

Beliau berkata, dengan tema 'Kaamatan untuk Semua', sambutan itu menyerlahkan mesej keterangkuman dan menghargai kepelbagaian, sesuai dengan latar belakang pelajar SK Pekan Lama yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. 

Katanya, antara pengisian program termasuk pertandingan bercerita dalam bahasa KDMR, Sugandoi, persembahan pakaian tradisional dan lain-lain.

"Anak-anak yang menyertai program ini bukan sahaja belajar tentang budaya mereka sendiri, tetapi juga nilai seperti semangat kerjasama, keyakinan diri, hormat-menghormati dan kebanggaan menjadi anak Sabah," katanya.

Sebagai Pengerusi Persatuan Inspirasi Wanita Sabah, Redonah turut menekankan kepimpinan guru-guru wanita dalam menjayakan program itu sebagai satu contoh teladan buat masyarakat.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak melupakan pelajaran dan budaya walaupun dunia kini dikelilingi oleh teknologi dan permainan dalam talian. 

“Gunakan teknologi dengan bijak, tetapi jangan sesekali melupakan akar budaya sendiri. Jadilah generasi celik teknologi, tetapi berjiwa Sabah,” katanya.

Comment