KOTA KINABALU: Golongan belia Sabah diminta membuka minda dan melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama membina masa depan yang cerah, bukan sekadar laluan alternatif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bidang TVET kini memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri, sejajar dengan transformasi teknologi serta keperluan industri masa kini.
“TVET bukan sahaja melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal, tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada Majlis Pelancaran Majlis TVET Sabah (MTS) di sini, pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya.
Hajiji menegaskan bahawa kursus-kursus TVET yang ditawarkan kini telah disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja dan sektor perindustrian yang berkembang pesat, menjadikannya satu jalan kerjaya yang stabil dan berdaya maju untuk anak muda.
“Saya menyeru belia negeri ini agar tidak ragu-ragu untuk menyertai bidang TVET. Inilah masa untuk mengubah persepsi dan memandang TVET sebagai pilihan bijak yang membuka ruang untuk menjadi profesional, usahawan dan inovator,” katanya.
Menurutnya, Majlis TVET Sabah yang dilancarkan itu merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekosistem latihan teknikal, menyelaras lebih 160 institusi TVET di seluruh negeri dan memastikan setiap graduan yang dihasilkan benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Beliau berkata, TVET juga dianggap sebagai pemacu utama kepada matlamat pembangunan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan dokumen strategik nasional seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan National Energy Transition Roadmap (NETR).
Hajiji turut menyentuh soal revolusi teknologi masa kini, termasuk kecerdasan buatan (AI), yang menuntut generasi muda bersedia dengan kemahiran baharu yang bersifat adaptif dan berorientasikan inovasi.
“Dunia pekerjaan sedang berubah.Jika belia Sabah tidak bersedia dengan kemahiran yang relevan, kita akan ketinggalan. TVET adalah platform terbaik untuk kita bangunkan modal insan berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan negeri,” katanya.
Menurutnya, pelancaran Majlis TVET Sabah menandakan satu era baharu dalam memperkasa pembangunan belia melalui latihan berstruktur dan berpandukan keperluan industri, sekali gus menjadikan Sabah sebagai hab tenaga kerja mahir yang kompetitif di peringkat nasional dan serantau.
Hajiji berkata, majlis itu bukan sekadar struktur pentadbiran, tetapi platform strategik yang menyatukan agensi kerajaan, institusi latihan, sektor industri dan pemain utama TVET dalam satu ekosistem tersusun dan inklusif.
Menurutnya, Majlis TVET Sabah juga berperanan sebagai penyelaras dasar, pemacu hala tuju latihan kemahiran, dan sebagai penghubung strategik kepada permohonan dana pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Ia turut menyokong agenda pemerkasaan belia dan kebolehpasaran graduan, di samping memperkukuh pengiktirafan serta pensijilan kemahiran di peringkat negeri," katanya.