Nasib 13 remaja akan diketahui 11 Jun terkait kes bunuh pelajar kolej Vokasional
17:05 May 14, 2025  |  By SabahKini2
Nasib 13 remaja akan diketahui 11 Jun terkait kes bunuh pelajar kolej Vokasional

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu pada prosiding klarifikasi status hujahan semua pihak pagi ini.

TAWAU: Nasib 13 remaja yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Kolej Vokasional Lahad Datu bakal diketahui 11 Jun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu pada prosiding klarifikasi status hujahan semua pihak pagi ini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua pihak sudah memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan pihak pendakwaan sendiri memfailkan hujahan pada pagi ini.

Beliau bagaimanapun memohon satu tarikh baru untuk pihaknya memfailkan hujahan balas berikutan terdapat beberapa peguam bela mewakili tertuduh memfailkan hujahan lewat.

Duncan kemudiannya mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan balas sebelum atau pada 21 Mei ini sebelum menetapkan tarikh tentatif untuk keputusan pada 11 Jun ini.

Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil seramai 18 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri yang berlangsung selama tujuh hari bermula 10 Mac lalu itu dengan semua 13 remaja terbabit memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Selain itu, tiga saksi awam turut dipanggil iaitu ibu bapa salah seorang tertuduh serta seorang wanita iaitu peniaga gerai makan berhampiran Kolej Vokasional Lahad Datu.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes mereka.

Kesemua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan dibarisi Nur Nisla bersama Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 tertuduh itu diwakili peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye manakala lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Comment