TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan, Januari lepas.
Tertuduh Zulfikar Zul Akmat, 22, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut kertas pertuduhan, Zulfikar didakwa memandu kenderaan tanpa kecermatan dan perhatian sepenuhnya sehingga kereta yang dipandunya terbabas sendiri.
Kejadian yang menyebabkan tiga penumpangnya turut mengalami kecederaan itu berlaku di simpang Jalan Mawar, kira-kira jam 5.53 pagi pada 19 Januari lepas.
Zulfikar didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan bermula hari ini.
Sementara itu, tertuduh juga didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26 (1) (APJ) 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu dan Seksyen 90 (1) memandu kenderaan yang tidak mempunyai insuran.
Kesalahan itu, tertuduh dikenakan hukuman masing-masing tiga bulan penjara dan semua hukuman berjalan berasingan, selain dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.