Sektor tenaga berperanan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah
16:04 Apr 24, 2025  |  By SabahKini2
Sektor tenaga berperanan penting dalam pembangunan ekonomi Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), bertujuan merangka hala tuju dan menggariskan keutamaan utama untuk sektor tenaga negeri.

KOTA KINABALU: Sektor tenaga akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masa depan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), bertujuan merangka hala tuju dan menggariskan keutamaan utama untuk sektor tenaga negeri.

"Dengan ini, Sabah akan dapat membangunkan sepenuhnya sektor tenaga hijau, dengan potensi untuk memberikan sehingga 75 peratus bekalan tenaga hijau negara.

"Kerajaan negeri mengharapkan kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan dalam memacu Sabah ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2025: Koridor untuk Mengubah Visi kepada Realiti (SAREC 2025) di sini hari ini. Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, Sabah dikurniakan dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan berpotensi menawarkan prospek yang kukuh untuk menyumbang secara signifikan kepada transformasi negeri dan negara menuju ekonomi berimpak tinggi.

"Sektor tenaga menjadi enjin pertumbuhan yang kritikal bagi ekonomi Sabah selama beberapa dekad lepas, memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negeri.

"Adalah menjadi harapan saya untuk melihat sektor tenaga Sabah terus berkembang sambil memberikan kesan sosial yang positif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri secara agresif memacu agendanya dalam menggalakkan tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan tenaga bersih dengan melaksanakan program yang akan membantu mempromosikan aktiviti ekonomi.

Pada masa sama katanya, ia turut mempercepatkan pertumbuhan ekonomi yang akan membentuk dan memperkuatkan sektor tenaga boleh diperbaharui dan industri hijau Sabah.

"Kerajaan negeri akan terus membangunkan infrastruktur berkaitan dengan sektor tenaga yang diperlukan. 

"Kami sentiasa teguh dalam usaha untuk mengambil alih dan mengurus sumber tenaga negeri bagi memperkasakan Sabah untuk membangunkan dan terus mengembangkan sektor tenaga dengan lebih berkesan dan efisien,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengulangi bahawa kerajaan negeri mengenal pasti satu sektor ekonomi baharu iaitu Ekonomi Biru yang melibatkan eksplorasi lestari sumber marin dan pesisir Sabah.

Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada April tahun lalu meluluskan Enakmen Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC) 2024 yang membuka jalan bagi pembangunan OTEC sebagai satu sumber tenaga boleh diperbaharui dan sebagai salah satu inisiatif di bawah Ekonomi Biru.

Selain itu, Hajiji memuji Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) kerana berjaya menganjurkan SAREC 2025.

"Kerajaan negeri sedia untuk berkolaborasi dengan semua pihak berkepentingan untuk menyatukan usaha, bertukar idea dan meneroka penyelesaian," katanya.

Turut hadir, Pengerusi QSB Datuk Dr. Yusof Yacob; Ketua Pegawai Eksekutif QSB Datuk Ahmad Rizal Dahli; dan Ketua Pegawai Eksekutif MARC Group, Arshad Mohamed Ismail.

Comment