SPRM sahkan Hajiji KM Sabah tidak terlibat dalam video lesen mineral, Albert Tei bukan Whistleblower
16:04 Apr 11, 2025  |  By SabahKini2
SPRM sahkan Hajiji KM Sabah tidak terlibat dalam video lesen mineral, Albert Tei bukan Whistleblower

Terbukti! SPRM mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak mempunyai kaitan dengan video tular. Menurut SPRM Datuk Albert Tei bukan Whistleblower!

KOTA KINABALU- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak mempunyai kaitan dengan video tular yang mendakwa wujud unsur rasuah dalam isu pelesenan lombong mineral di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan awal yang dijalankan secara menyeluruh termasuk mengambil dua kali keterangan daripada Hajiji tidak menunjukkan sebarang penglibatan beliau dalam salah laku seperti yang didakwa.

“Kita telah mengambil kenyataan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor. Dalam siasatan ini, kita bertindak secara telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Ketua Menteri telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan setakat ini, siasatan tidak menunjukkan penglibatan beliau dalam sebarang video atau aktiviti yang mencurigakan,” katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.

Tan Sri Azam turut menegaskan bahawa SPRM tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak, termasuk pemimpin tertinggi negeri.

“Kami berpandukan bukti dan fakta, bukan spekulasi. SPRM tidak akan sesekali melindungi mana-mana individu sekiranya terbukti bersalah,” tegas beliau.


Albert Tei bukan Whistleblower

Dalam perkembangan berkaitan, Azam turut menafikan dakwaan bahawa ahli perniagaan terkenal, Datuk Albert Tei, merupakan pemberi maklumat (whistleblower) dalam kes tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan rekod SPRM, Albert Tei tidak pernah membuat sebarang aduan rasmi walaupun telah beberapa kali digesa untuk tampil memberikan maklumat.

“Kalau ikut rekod, beliau tidak pernah datang ke pejabat SPRM untuk buat aduan. Saya sudah gesa beliau tampil beri pengaduan, tapi tidak ada,” katanya.

Baru-baru ini Albert Tei koyak, buat laporan polis dan SKMM pendedahan butiran dan pemilikan syarikat yang dia gunakan untuk 'scammer' lesen mineral Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN- Albert Tei KOYAK! Mengadu kepada SKMM arah turun artikel Sabahkini2 tapi videonya serang ADUN terus disebarkan

 

10 Video Sedang Dianalisis SPRM – Banyak Unsur Penyuntingan Dikesan

SPRM kini sedang menganalisis 10 buah video yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah tersebut, termasuk lapan video awal dan dua video terbaru yang telah dimuat naik di portal berita MalaysiaKini.

Azam berkata, hasil analisis awal mendapati kesemua lapan video sebelum ini mengandungi unsur penyuntingan dan manipulasi digital yang ketara, sekali gus menjejaskan kredibiliti kandungan sebagai bahan bukti sah di mahkamah.

“Video-video ini tidak boleh diterima di mahkamah kerana banyak elemen suntingan dan ia tidak kredibel sebagai bukti,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa dua video terbaru yang lebih panjang sedang dianalisis secara terperinci oleh Bahagian Forensik SPRM dengan fokus kepada penyuntingan bingkai, pengubahsuaian audio, serta kemungkinan manipulasi digital lain.

Siasatan Ke Atas Dua Kertas Siasatan Masih Berjalan

SPRM turut mengesahkan dua kertas siasatan sedang dijalankan berhubung kes ini. Siasatan pertama melibatkan Datuk Albert Tei bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd serta seorang individu bergelar Datuk Awang Sahari yang merupakan pengerusi sebuah syarikat berkaitan.

“Kami komited menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan telus tanpa sebarang pengaruh politik atau tekanan luaran,” kata Azam.

Lesen Mineral Bekas TYT Sabah

Dalam pada itu, sebuah lagi kontroversi timbul apabila tular dakwaan bahawa syarikat Lincah Hebat Utama Sdn. Bhd., yang didakwa dimiliki anak dan menantu bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin, telah dianugerahkan lesen penerokaan mineral oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Lesen tersebut, yang melibatkan kawasan seluas 17,600 hektar tanah kerajaan, dilaporkan diberikan hanya dua hari selepas beliau bersara sebagai TYT.

Lesen Mineral Sabah: Syarikat Lincah Hebat Utama Sdn. Bhd milik  anak menantu Tun Juhar Bekas TYT Sabah bukan pemimpin GRS!

SPRM setakat ini belum mengesahkan sebarang siasatan berhubung isu tersebut, namun umum menjangkakan ia akan turut diberi perhatian berikutan sensitiviti dan nilai strategik sektor perlombongan mineral di Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN- Lesen Mineral Sabah: Syarikat Lincah Hebat Utama Sdn. Bhd milik anak menantu Tun Juhar Bekas TYT Sabah bukan pemimpin GRS!

Comment