Semasa kunjungan hormat dengan penganjur BOHEX pada Khamis, Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata, Sabah memerlukan lebih banyak acara seperti ini untuk meningkatkan portfolionya.
KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menyambut baik Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BOHEX) yang akan datang sebagai inisiatif bermakna untuk mengukuhkan reputasi Sabah sebagai destinasi MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) serta mesra Muslim.
Semasa kunjungan hormat dengan penganjur BOHEX pada Khamis, Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata, Sabah memerlukan lebih banyak acara seperti ini untuk meningkatkan portfolionya, terutamanya dalam kalangan peserta antarabangsa.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pasukan penganjur BOHEX termasuk Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Hubungan Kerajaan, Maiyizat-ul-Najwa, Ab. Mutalib, Pengarah Komunikasi Korporat, Nurul Hidayah Umol dan Pengurus Projek Safia Amira Mohd Jamil.
“Acara antarabangsa seperti BOHEX adalah bermakna, terutama bagi STB, kerana ia membolehkan kita memperkenalkan destinasi indah kita kepada peserta luar negara, sama ada mereka pengunjung pertama kali atau pengunjung yang datang semula.
"Ia melengkapkan usaha Malaysia untuk menarik lebih ramai pelawat di bawah program Visit Malaysia 2026 sambil meletakkan Sabah sebagai destinasi yang semakin menarik bagi pelancong Muslim,” kata Joniston.
Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, mencadangkan agar penganjur berunding dengan Biro Konvensyen Sabah untuk mengukuhkan lagi impak acara itu.
BOHEX, yang dijadualkan diadakan pada 5 sehingga 9 Februari 2025, dianjurkan oleh Eminent Source Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam industri latihan dan pendidikan berkaitan pensijilan Halal, Keselamatan dan Kualiti Makanan sejak 2022.
Disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), BOHEX akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah dan membawa tema Embracing Halal World.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai produk halal yang melangkaui makanan, memperkenalkan sektor-sektor seperti fesyen, produk perubatan dan pelancongan.
Pasukan penganjur memaklumkan Joniston bahawa BOHEX mampu menarik 10,000 pengunjung sepanjang lima hari pameran itu diadakan dan membawa peserta dari Brunei, Korea Selatan, Indonesia, Pakistan dan India serta banyak lagi.