Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, mangsa yang tersepit dalam van disahkan meninggal dunia, manakala pemandu pacuan empat roda, lelaki berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah.
SEMPORNA: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51, Jalan Semporna - Tawau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu mangsa berusia lingkungan 40-an disahkan maut oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.32 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah van dipercayai bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.
“Kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan tersepit dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan Road Traffic Accident,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang tersepit dalam van disahkan meninggal dunia, manakala pemandu pacuan empat roda, lelaki berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah.
Madzlan berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Semporna dengan menggunakan ambulans KKM.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.50 pagi,” katanya.