Menteri Kanan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yusril Ihza Mahendra mengesahkan kepada AFP bahawa Veloso, 39, berlepas ke Manila pada 12.53 tengah malam tadi waktu tempatan.
JAKARTA: Banduan Filipina, Mary Jane Veloso yang menanti hukuman mati selama 15 tahun di Indonesia, selamat tiba di negara asalnya pada Rabu, hasil rundingan perjanjian untuk penghantaran pulang wanita itu.
Menteri Kanan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yusril Ihza Mahendra mengesahkan kepada AFP bahawa Veloso, 39, berlepas ke Manila pada 12.53 tengah malam tadi waktu tempatan, dari sini selepas menandatangani penyerahan yang menghapuskan kemungkinan hukuman mati.
"Ini adalah kehidupan baharu bagi saya dan saya akan mempunyai permulaan baharu di Filipina.
"Saya perlu pulang kerana saya mempunyai keluarga di sana, saya mempunyai anak-anak yang menunggu saya," katanya pada sidang media sambil menangis dan menambah bahawa dia mahu meraikan Hari Natal bersama keluarganya.
Perjanjian antara Jakarta dan Manila menyatakan bahawa Veloso akan dipindahkan ke Manila, sebagai banduan hukuman penjara seumur hidup.
Bagaimanapun, hukuman itu tertakluk kepada undang-undang di negara asal dan ini bermakna Presiden Ferdinand Marcos boleh meringankan hukumannya atau memberi pengampunan kepadanya.
Kerajaan Indonesia akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh Manila.
"Saya sangat gembira hari ini, tetapi sejujurnya saya agak sedih, kerana Indonesia adalah keluarga kedua saya," katanya sebelum menyanyikan lagu kebangsaan Indonesia.
"Saya harap kamu semua akan mendoakan saya. Saya perlu kuat," katanya.
Veloso mengucapkan terima kasih kepada pemimpin kedua-dua negara sebelum membuat tanda hati cinta dengan tangannya dan menjerit 'Saya cinta Indonesia!'
Penyerahan itu dihadiri kakitangan imigresen dan penjara Indonesia di samping wakil dari kedutaan Filipina di Jakarta dan pegawai penjara dari Manila.
Sebelum bercakap kepada media, dia menangis ketika menghubungi anak-anak dan ibu bapanya.
Dokumen perjalanan Veloso dicop dengan tanda pengusiran dan wanita itu akan dilarang memasuki Indonesia.
Ibunya, Celia Veloso, 65, meminta Presiden Filipina Marcos untuk memberikan pengampunan kepada Veloso supaya anaknya dapat menghabiskan masa untuk meraikan Hari Natal bersama keluarganya.
Veloso memberitahu AFP pada Jumaat dalam temu bual pertamanya sejak perjanjian penghantaran pulang bahawa pembebasannya adalah satu keajaiban.
Terdahulu, Veloso disabitkan bersalah pada 2010, selepas beg pakaian yang dibawanya didapati mengandungi 2.6 kilogram heroin.