Menunggang motosikal ketika mabuk, warga asing dipenjara dan denda RM11,000
18:09 Sep 04, 2024  |  By SabahKini2
Menunggang motosikal ketika mabuk, warga asing dipenjara dan denda RM11,000

Tertuduh, Raihan Saleh,21, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

TAWAU: Seorang lelaki warga asing dihukum penjara empat hari dan denda RM11,000 atas empat pertuduhan kesalahan trafik termasuk menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol, pada 3 Ogos lepas. 

Tertuduh, Raihan Saleh,21, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 10.41 malam di Batu 1 Jalan Apas dalam daerah Tawau, sebagai penunggang motosikal.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Raihan juga turut didakwa tiga lagi pertuduhan iaitu menunggang motosikal tanpa lesen, tidak memperagakan nombor pendaftaran kenderaan dan menunggang motosikal tidak diliputi insuran.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM11,000 untuk kesalahan mabuk serta penjara empat hari bagi ketiga-tiga pertuduhan lain. Hukuman penjara dijalankan serentak bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama sebulan jika gagal membayar denda, hilang kelayakan memohon lesen memandu selama dua tahun dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan berkenaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Comment