Atlet asal Sabah hadiahkan pingat gangsa pertama Malaysia
15:09 Sep 02, 2024  |  By SabahKini2
Atlet asal Sabah hadiahkan pingat gangsa pertama Malaysia

Pada aksi di Stade de France, atlet olahraga kelahiran Sabah itu melakukan catatan 11.58 saat (s) untuk menyambar kedudukan terakhir di podium dengan pingat emas dimenangi atlet Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo (11.12s).

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat pertama negara di pentas Sukan Paralimpik Paris 2024, Eddy Bernard mendedikasikan kejayaannya merangkul gangsa acara 100 meter (m) lelaki T44 kepada Malaysia.

Pada aksi di Stade de France, atlet olahraga kelahiran Sabah itu melakukan catatan 11.58 saat (s) untuk menyambar kedudukan terakhir di podium dengan pingat emas dimenangi atlet Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo (11.12s).

Pingat perak dalam pada itu diraih pelari Cuba, Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20s.

Beraksi pada penampilan sulungnya di pentas berprestij itu, Eddy, 23, mengakui fokusnya ketika perlumbaan adalah untuk memberikan persembahan terbaik pernah dibuatnya.

"Saya amat berpuas hati dengan pencapaian kali ini. Ini adalah sukan Paralimpik saya yang pertama jadi perasaannya lebih istimewa. Dan untuk pingat gangsa ini saya hadiahkan kepada Malaysia," katanya.

Selain memenangi pingat gangsa, catatan yang dilakukan Eddy, 11.5s turut memperbaharui rekod baharu Asia dalam acara berkenaan yang meleburkan rekod sebelum ini milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage 11.75s yang dibuat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.

Sementara itu, jurulatih Eddy iaitu Hamberi Mahat berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak didiknya itu dan menyifatkan kejayaan yang diperolehnya sebagai amat memberangsangkan.

"Kejayaan yang diperoleh membuktikan segala perancangan yang kami buat sejak Eddy layak beraksi di temasya itu berhasil.

"Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Majlis Sukan Negara, Majlis Paralimpik Negara dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan kami," kata Hamberi.

Sebagai rekod, catatan masa peribadi terbaik Eddy adalah 11.77s yang dilakukan ketika meraih pingat perak pada kejohanan berprestij dunia di Kobe.

Comment