Helikopter tentera Jepun terhempas, seorang maut dan tujuh hilang
13:04 Apr 21, 2024  |  By SabahKini2
Helikopter tentera Jepun terhempas, seorang maut dan tujuh hilang

Menteri Pertahanan Minoru Kihara berkata, penyelamat ternampak apa yang dipercayai sebagai sebahagian pesawat itu di laut, dan pihaknya percaya kedua-dua helikopter itu terhempas.

Seorang dilaporkan maut manakala tujuh lagi hilang susulan nahas udara lewat Sabtu, membabitkan dua helikopter tentera Jepun ketika latihan pada waktu malam, di luar Kepulauan Izu, di Lautan Pasifik.

Menteri Pertahanan Minoru Kihara berkata, penyelamat ternampak apa yang dipercayai sebagai sebahagian pesawat itu di laut, dan pihaknya percaya kedua-dua helikopter itu terhempas.

Bagaimanapun, ketika ini puncanya tidak diketahui, namun kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata, helikopter terbabit sedang menjalani latihan untuk menentang ancaman kapal selam pada waktu malam.

Memetik laporan tempatan, komunikasi dengan satu helikopter hilang pada jam 10.38 malam waktu tempatan di luar Pulau Torishima, dan seminit kemudian isyarat kecemasan diterima daripada pesawat ini.

Kira-kira 25 minit kemudian, jam 11.04 malam waktu tempatan, pihak tentera menyedari komunikasi dengan pesawat satu lagi turut terputus di kawasan sama.

Helikopter Mitsubishi SH-60K dari Pasukan Pertahanan Diri Maritim (MSDF) kebanyakannya berpengkalan dan beroperasi dari kapal pemusnah tentera laut.

MSDF berkata memandangkan tiada pesawat atau kapal lain di perairan berhampiran, pembabitan negara lain dalam insiden itu tidak mungkin timbul.

Jepun sedang meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan memperdalam kerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain di Asia sebagai tindak balas terhadap ketegasan China yang semakin meningkat di rantau ini, dan Korea Utara, yang tidak dapat diramalkan.

Comment