Jemaah umrah tampung kos sendiri akibat terkandas di Sabah, Sarawak
14:04 Apr 19, 2024  |  By SabahKini2
Jemaah umrah tampung kos sendiri akibat terkandas di Sabah, Sarawak

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata ia berikutan syarikat pelancongan hanya menguruskan perjalanan sahaja.

KUALA LUMPUR: Jemaah umrah yang terkandas akibat pembatalan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak susulan ancaman abu letusan Gunung Ruang, Indonesia, dan tidak mengambil insurans perlu menanggung kos tambahan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata ia berikutan syarikat pelancongan hanya menguruskan perjalanan sahaja.

"Bagaimanapun, bagi jemaah yang mengambil insurans tiada masalah, tetapi yang tidak ambil insurans, mereka perlu tanggung kos (tambahan).

"Yang ada insurans mereka boleh membuat tuntutan dari syarikat insurans," katanya.

Razali berkata, keadaan yang berlaku ketika ini adalah perkara luar jangka dan tidak dapat dielakkan.

"Musibah ini adalah satu dugaan dan memang di luar jangkaan," katanya.

Semalam, Malaysia Airlines membatalkan 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur dan lapan penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur.

AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan tetapi penumpang terjejas boleh memilih mana-mana tarikh perjalanan baharu sekali dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak kelmarin.

Comment