Penerbangan AirAsia antara Kuala Lumpur dan Sabah, Sarawak masih terjejas
14:04 Apr 19, 2024  |  By SabahKini2
Penerbangan AirAsia antara Kuala Lumpur dan Sabah, Sarawak masih terjejas

Berdasarkan situasi cuaca terkini, AirAsia berkata pihaknya telah menyediakan beberapa pilihan penyelesaian untuk penumpang yang penerbangannya telah dibatalkan.

KUALA LUMPUR: Penerbangan AirAsia antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak hari ini masih terjejas susulan letusan Gunung Ruang di Kepulauan Sulawesi, Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada penumpang yang terjejas.

"Penumpang AirAsia yang pergi ke dan dari destinasi yang terjejas amat digalakkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di laman web airasia.com/flightstatus," katanya.

Berdasarkan situasi cuaca terkini, AirAsia berkata pihaknya telah menyediakan beberapa pilihan penyelesaian untuk penumpang yang penerbangannya telah dibatalkan.

AirAsia berkata pelanggan boleh memilih untuk menukar penerbangan dengan membuat perubahan satu kali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam masa 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan dan tertakluk pada ketersediaan tempat duduk; atau memilih akaun kredit dengan mengekalkan nilai tempahan penerbangan dalam akaun ahli airasia Rewards tetamu untuk perjalanan masa hadapan dengan AirAsia untuk ditebus dalam tempoh 730 hari (dua tahun) dari tarikh pengeluaran.

"Tarikh perjalanan tempahan baharu boleh jatuh pada mana-mana tarikh dalam jadual penerbangan yang diterbitkan di airasia.com

"Pelanggan yang ingin membuat perubahan tempahan dalam talian boleh berbuat demikian di airasia.com atau AirAsia MOVE (sebelum ini dikenali sebagai airasia Superapp)," katanya.

AirAsia berkata pihaknya akan terus memantau aktiviti gunung berapi Gunung Ruang dan akan memberikan lebih banyak maklumat mengenai perkembangan terkini.

Untuk maklumat terkini pelanggan dinasihatkan mengikuti perkembangan di media sosial @airasia di X dan @flyairasia di Instagram atau hubungi pasukan sokongan pelanggan di support.airasia.com.

Comment