Calon WARISAN didakwa tipu projek pembalakan
14:11 Nov 27, 2023  |  By SabahKini2
Calon WARISAN didakwa tipu projek pembalakan

Tertuduh, Datuk Azman Idris, 55, yang bertanding PRU15 November lalu atas tiket Parti Warisan (WARISAN) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

JELI: Bekas calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Datuk Azman Idris, 55, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan pembalakan tidak wujud sehingga mangsa kerugian RM171,500, dua tahun lalu.

Tertuduh, yang juga merupakan Pengerusi Warisan Negeri Sembilan bertanding PRU15 November lalu atas tiket Parti Warisan (WARISAN) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Ahli perniagaan itu didakwa menipu Chin Yet Lun, 37, dengan memperdaya lelaki berkenaan dalam urusan pembalakan tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang RM171,500 melalui transaksi ke dua akaun bank milik tertuduh.

Datuk Azman Idris (bertopi) dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Jeli.

Azman dituduh melakukan jenayah itu di Mukim Belimbing, Batu Melintang, di sini, antara 27 September 2021 hingga 10 Disember 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim yang mencadangkan jaminan RM30,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu ikat jamin dikurangkan atas alasan pendapatan tidak menentu dan perlu menanggung isteri serta empat anak.

Nik Habri yang mengingatkan Azman bahawa kesalahan dituduh dilakukannya berat kerana kerugian besar dialami mangsa, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah Khamis ini serta menetapkan 31 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang tewas dalam pertembungan lima penjuru di Kuala Pilah pada PRU15 lalu apabila hanya memperoleh 333 undi, kemudian membayar ikat jamin ditetapkan.

Comment