Pengembalian wakil Sabah, Sarawak dalam LHDN dibentang di Dewan Rakyat
22:10 Oct 02, 2023  |  By SabahKini2
Pengembalian wakil Sabah, Sarawak dalam LHDN dibentang di Dewan Rakyat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagi mengemukakan perkara tersebut, Rang Undang-Undang (RUU) LHDN (Pindaan) 2023 akan dibentangkan.

KOTA KINABALU: Proses mengembalikan wakil Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dibentang dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 9 Okt hingga 30 Nov ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagi mengemukakan perkara tersebut, Rang Undang-Undang (RUU) LHDN (Pindaan) 2023 akan dibentangkan.

Beliau berkata pembentangan itu penting dalam usaha mengukuhkan proses tersebut menerusi perundangan, setelah pelantikan wakil daripada Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga LHDN dilakukan secara pentadbiran sejak tahun lepas.

“Kabinet Persekutuan pada 5 Jun lepas telah meluluskan (cadangan) untuk dilaksanakan pindaan kepada Akta LHDN melalui RUU tersebut bagi melantik wakil Sabah dan Sarawak sebagai Anggota Lembaga LHDN.

"Kita tahu pentingnya kenapa (perlu) ada perwakilan (dari) Sabah dan Sarawak supaya Sabah dan Sarawak mempunyai akses kepada maklumat berkaitan dengan kutipan hasil untuk menuntut perkara-perkara lain, contohnya yang berkaitan dalam pemberian khas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Wacana Madani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah dalam Malaysia, di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata langkah itu adalah komitmen kerajaan Persekutuan yang menggambarkan kehendak politik bagi memaknai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam menyelesaikan isu-isu yang tertangguh dalam perjanjian tersebut.

Beliau berkata perkara itu adalah antara isu yang tertangguh dalam MA63 dan telah dibangkitkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 pada 18 Okt tahun lepas.

Keanggotaan wakil Sabah dan Sarawak itu terhenti apabila LHDN dan undang-undang berkaitan dimansuhkan dan dikawal selia oleh Jabatan LHDN bermula pada 1967, sebelum diteruskan oleh LHDN yang ditubuhkan pada 1996 di bawah Akta LHDN.

Dalam pada itu, Armizan turut mengingatkan semua pihak agar memaknai perjuangan dalam tuntutan MA63 supaya ia dapat dilaksanakan menerusi kesatuan dan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan serta laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Comment