G57 desak ADUN Tungku mohon maaf berkaitan isu Ambalat
15:08 Aug 16, 2023  |  By SabahKini2
G57 desak ADUN Tungku mohon maaf berkaitan isu Ambalat

Menurut kenyataan media Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin secara jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut wilayah dan tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat.

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Parti Warisan Sabah, Assaffal Alian membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya kononnya Kerajaan Pusat menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Pengerusi G57 Datuk Zulkarnain Mahdar berkata kenyataan dibuat oleh wakil rakyat itu ketika berucap pada sidang DUN Sabah pada minggu lalu dan telah disebar luas melalui rakaman video adalah jelas satu perbuatan amat tidak bertanggungjawab dan juga mengancam kedaulatan negara.

“Menurut kenyataan media Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin hari ini secara jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

“Mohamad Alamin juga turut menegaskan bahawa sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja membabitkan triti terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982,” kata Zulkarnain dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Zulkarnain, cara berpolitik pemimpin-pemimpin Parti Warisan amat bahaya.

“Ironinya ketika ini bukan sahaja sasaran fitnah mereka sebelum ini terarah kepada Datuk Seri Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah tetapi Kerajaan Perpaduan dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran baru mereka.

“Justeru G57 mendesak agar adun tungku itu segera membuat permohonan maaf kepada kerajaan termasuk seluruh rakyat Sabah dan turut mengesa dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja berbohong dan mengelirukan DUN,” tegas beliau.

Comment