Abang Jo dan Hajiji komited sokong Anwar – Mat Sabu
15:08 Aug 09, 2023  |  By SabahKini2
Abang Jo dan Hajiji komited sokong Anwar – Mat Sabu

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, Premier Sarawak (Abang Johari Openg) dan Ketua Menteri Sabah (Hajiji Noor) memberi komitmen mereka akan terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim walau apa pun keputusan pilihan raya.

SEREMBAN: Presiden Amanah Mohamad Sabu menolak dakwaan bahawa keputusan PRN di enam negeri boleh menyebabkan berlakunya pertukaran kerajaan di Putrajaya.

“Premier Sarawak (Abang Johari Openg) dan ketua menteri Sabah (Hajiji Noor) memberi komitmen bahawa mereka akan terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim walau apa pun keputusan pilihan raya,” katanya dalam satu ceramah di sini.

“Dan komitmen itu menunjukkan kepada dunia kita mempunyai kerajaan yang stabil,” katanya sambil menambah keadaan itu dapat menarik pelabur datang ke Malaysia.

Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, yang diketuai Abang Johari dan Hajiji, menyumbang 29 kerusi Parlimen dalam gabungan kerajaan perpaduan.

Beberapa pemimpin Perikatan Nasional mendakwa jumlah hadirin yang kurang dalam ceramah kerajaan perpaduan di PRN di enam negeri boleh membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat persekutuan.

Sementara itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kerajaan perpaduan semakin diterima oleh rakyat.

Katanya, di Kelantan, penduduk kecewa dengan kurangkan bekalan air bersih.

“Walaupun negeri pembangkang, perdana menteri kita tetap menyalurkan bantuan RM500 juta (bagi menyelesaikan isu air Kelantan).”

Katanya, bekalan air bersih terus menjadi masalah di Kelantan dan ramai penduduk termasuk di Kota Bharu mula menggali telaga untuk mendapatkan air untuk kegunaan harian.

Pada bulan lalu, Anwar mengumumkan peruntukan RM800 juta untuk membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan dan Sabah.

Comment