Tuntutan segera waris Sulu lebih AS16 bilion melampau, AGC nafi dakwaan peguam
03:06 Jun 04, 2023  |  By SabahKini2
Tuntutan segera waris Sulu lebih AS16 bilion melampau, AGC nafi dakwaan peguam

Menerusi surat bertarikh 28 Mei lepas yang ditujukan kepada Peguam Negara dan diterima sehari selepas itu, Cohen mendakwa kerajaan Malaysia dengan sengaja gagal memenuhi Final Award.

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan sepenuhnya semua dakwaan dan sindiran yang dilemparkan peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (penuntut Kumpulan Sulu), Paul H Cohen.

Menerusi surat bertarikh 28 Mei lepas yang ditujukan kepada Peguam Negara dan diterima sehari selepas itu, Cohen mendakwa kerajaan Malaysia dengan sengaja gagal memenuhi Final Award.

AGC dalam kenyataan hari ini berkata, surat itu turut memberi gambaran tidak tepat dan memfitnah Kerajaan Malaysia berhubung tindakan undang-undang yang telah diambil dalam menangani tuntutan tersebut.

Menurutnya, kesemua dakwaan oleh Cohen dalam surat tersebut adalah sama sekali tidak benar dan secara terang-terangan tidak mengendahkan fakta sebenar tuntutan.

Ia sekali gus akan mewujudkan rekod bertulis bagi perkara yang tidak benar, bertujuan digunakan terhadap Malaysia, tambahnya.

AGC berkata, adalah melampau bagi penuntut untuk membuat tuntutan bayaran bagi Final Award yang dikatakan itu sedangkan prosiding undang-undang masih lagi berlangsung.

"Kerajaan Malaysia dengan tegasnya membantah Final Award dan mengekalkan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf kesemua tindakan yang telah diambil kerana semua keputusan dan award yang dikeluarkan adalah tidak sah dari segi undang-undang," katanya.

Menurut AGC, surat itu menuntut bayaran segera, iaitu sebelum 2 Jun 2023, bagi Final Award yang dikatakan berjumlah AS$16.412 bilion (termasuk 10% faedah), AS$3,502,394.24 bagi bayaran peguam dan ahli pakar serta AS$4,026,592.64 bagi kos timbang tara.

Bagi menjawab dakwaan palsu itu, Kerajaan Malaysia melalui Peguam Negara telah menjawab surat tersebut yang telah menyatakan dengan jelas fakta-fakta berhubung tuntutan tersebut yang tidak boleh dipertikaikan

Selain itu, satu laporan polis dibuat pada 1 Jun lalu ke atas Cohen berhubung kenyataan dan dakwaan tidak adil yang dibuat terhadap Peguam Negara.

Comment