Projek IC mudahnya DAP memaafkan Mahathir - UPKO
23:02 Feb 28, 2018  |  By SabahKini2
Projek IC mudahnya DAP memaafkan Mahathir - UPKO

UPKO nak tanya pada DAP, bagaimana mereka dengan sebegitu mudah memaafkan Mahathir yang pernah hampir-hampir mencipta sebuah krisis kewarganegaraan di Sabah

KOTA KINABALU: Buat sekian lama DAP telah menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan merupakan dalang kepada apa yang dipanggil sebagai "Projek IC", namun semua tuduhan serta kecaman tersebut kini lenyap dalam sekelip mata, sejurus mereka berada di pihak yang sama, iaitu di Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung UPKO Datuk Donald Mojuntin berkata, ianya kedengaran lucu apabila Stephen Wong Pengerusi DAP Negeri Sabah menyatakan bahawa Pakatan Harapan telah menerima permohonan maaf Dr Mahathir atas segala kesilapan serta masalah yang beliau cipta  sepanjang beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"UPKO nak tanya pada DAP, bagaimana mereka dengan sebegitu mudah memaafkan seseorang yang pernah hampir-hampir mencipta sebuah krisis kewarganegaraan di Sabah?

"Apa pendirian DAP terhadap Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, setelah mendapat maklumat daripada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)? Adakah mereka masih menyokong Mahathir untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, manakala Anwar hanya kekal sebagai Ketua Umum mereka? Semua barisan kepimpinan Pakatan di Sabah harus nyatakan pendirian mereka masing-masing berkenaan hal ini untuk pengetahuan umum.

"Bagi pihak UPKO, biar saya nyatakan sekali lagi pendirian kami. UPKO tidak akan sekali-kali memaafkan Dr Mahathir yang bertanggungjawab memulakan operasi rahsia yang  memberikan IC kepada pendatang-pendatang tanpa izin, yang didedahkan sepanjang RCI mengenai pendatang tanpa izin di Sabah berjalan," katanya.

Mojuntin seterusnya mengingatkan bahawa pada 18 Januari 2013, pemimpin tertinggi Wong, iaitu Lim Kit Siang telah menyatakan melalui portal rasmi DAP, roketkini, bahawa beliau menganggap Dr Mahathir sebagai pengkhianat atas penglibatannya dalam sindiket mengeluarkan IC tidak sah kepada pendatang asing.

"Dan sekarang, senang-senang Wong berkata Pakatan Harapan dan DAP telah maafkan orang yang pernah mereka labelkan sebagai pengkhianat?

"Ahli Parlimen Sandakan ini seolah-olah baru bangun dari lena yang panjang. Sama ada itu atau dia menipu diri sendiri," kata Mojuntin sebagai respon kepada cubaan Wong untuk memindahkan kesalahan projek IC itu kepada UPKO.

Mengulas dakwaan Pemangku Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau sebelum itu yang mengatakan bahawa masalah yang telah diakibatkan oleh Projek IC akan jadi bertambah buruk jika Pakatan Harapan memenangi pilihanraya akan datang sekaligus mengangkat Dr Mahathir jadi perdana menteri, Wong berkata, UPKO yang sudah lama berada dalam BN sepatutnya menimbulkan kebimbangan itu semasa Dr Mahathir masih lagi Perdana Menteri.

Seterusnya Mojuntin berkata, pertama sekali, ia adalah suatu rahsia yang diketahui umum, bahawasanya Projek IC Mahathir itu telah bermula sejak pertengahan tahun 80-an dan dipercayai ia bermula sebagai satu usaha untuk menggulingkan kerajaan PBS iaitu dengan mengubah demografi Sabah.

"Kedua, semasa ia berlaku hanya Mahathir dan sejumlah kecil orang yang tahu serta sedar akan perkara itu. Ia dilakukan dengan senyap-senyap, memandangkan ianya adalah operasi rahsia.

"Ketiga, Upko belum pun ditubuhkan ketika ia berlaku," kata Mojuntin, sambil menambah bahawa apa yang lebih penting adalah, Dr Mahathir sendiri telah mengakuinya.

"Satu dunia boleh lihat pengakuan itu di YouTube."

"Kesemua bukti ini keluar dalam proses siasatan RCI. Oleh sebab itu, mengharapkan UPKO untuk menimbulkan bantahan terhadap sesuatu yang tidak diketahui umum pada masa itu adalah tak masuk akal. Dan kini segala bukti yang diperoleh sepanjang proses siasatan RCI menunjukkan bahawa ianya adalah perlakuan Dr Mahathir dan Anwar sebagai timbalannya ketika itu," kata beliau lagi.

Mojuntin yang juga merupakan Pengerusi BN Penampang itu turut mendakwa bahawa demi kepentingan politik, Wong cuba mengelirukan rakyat dengan menyalahkan orang yang tidak bersalah.

"Ramai yang tertanya-tanya sama ada Stephen Wong benar-benar mengambil berat tentang Sabah ataupun tidak. Masalah pendatang tanpa izin adalah ibu kepada semua masalah di Sabah.

"Projek IC bukan sahaja berjaya mengubah demografi negara tetapi membawa masalah lain termasuk dari aspek sosial, kesihatan dan juga ekonomi hingga ke hari ini," katanya.

Menurut Mojuntin, UPKO sentiasa konsisten dalam menggesa agar Kerajaan menyelesaikan isu pendatang tanpa izin yang memperoleh dokumen pengenalan diri Malaysia yang asli melalui pintu belakang ini.

"Parti ini tidak pernah berhenti menyeru agar mereka yang bertanggungjawab atas "Projek IC" ini dibawa ke muka pengadilan kerana ia melibatkan kedaulatan negara.

"UPKO juga mempunyai bukti-bukti sokongan berdasarkan kaji selidik yang mereka jalankan sendiri yang dibuat terhadap hampir 1,000 responden di kawasan-kawasan petempatan setinggan di seluruh Negeri.

"Sebahagian besar responden mengatakan bahawa mereka memperoleh IC mereka dengan harga antara RM1,000 dan RM10,000 setiap satu," katanya.

Penemuan itu telah disusun menjadi 26 jilid dan diserahkan kepada RCI berkenaan pendatang tanpa izin di Sabah, katanya.

Mojuntin berkata UPKO bukan sahaja pergi sehingga ke akar umbi demi mencari punca permasalahan ini, malah secara konsistennya mendesak supaya jalan penyelesaian diambil dengan membuat kutipan semula MyKad untuk dibuat semakan dan pemeriksaan serta pengeluaran semula semua IC Malaysia yang dikeluarkan di Sabah.

Oleh itu, UPKO berdiri sepenuhnya di belakang pemangku presiden dan berpegang pada pendirian bahawa masalah pendatang tanpa izin hanya akan menjadi lebih buruk jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Sebelum ini Shafie Apdal Presiden Warisan turut menyeru rakyat Sabah agar memaafkan Mahathir kerana projek IC.

Comment