Kesatuan kunci kemenangan BN Sabah -Musa Aman
10:02 Feb 27, 2018  |  By SabahKini2
Kesatuan kunci kemenangan BN Sabah -Musa Aman

“Kita menang lagi jika kita saling bekerjasama dengan baik kerana kita terbukti sebagai kerajaan"

KOTA KINABALU: Kesatuan kunci kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang, kata pimpinan parti-parti komponen gabungan itu hari ini.

Berucap di konvensyen jentera pilihan raya Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) hari ini, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata BN boleh menang sekali lagi jika parti komponen saling bekerjasama rapat.

“Kita menang lagi jika kita saling bekerjasama dengan baik kerana kita terbukti sebagai kerajaan,” kata Musa.

“Kita menang pilihan raya-pilihan raya lepas tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kemenangan itu kerana lanskap politik sudah berubah dan kita perlu menyesuaikan diri.”

Musa, yang juga pengerusi perhubungan BN Sabah, berkata pembangkang tidaklah sekuat yang diuar-uarkan.

“Kita tidak perlu takut pada pembangkang kerana mereka tidaklah sekuat yang mereka katakan,” katanya.

“Walaupun kita ada masalah dalaman, mereka ada masalah lebih buruk.

“Bahagian dan cawangan mereka masih belum lengkap dan ahli-ahli mereka termasuk orang-orang yang bersungut (dengan parti lama) dan mahu diletakkan sebagai calon (oleh parti baru).”

Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup yang berucap bagi pihak presidennya, Tan Sri Joseph Kurup, berkata kesatuan dalam BN mesti benar-benar diamalkan dan bukan sekadar “solekan”.

“Kita semua harus percaya pada prinsip perkongsian kuasa dengan memanfaatkan kekuatan unik setiap parti komponen di kawasan masing-masing.”

Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kesatuan mesti dipupuk bukan sahaja dalam parti tetapi juga dalam gabungan itu.

“Ini satu-satunya cara untuk memenangi semua kerusi pada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri.”

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili berkata: “Politik tentang angka. Kita mesti pastikan kita dapat semua kerusi terutama kerusi yang terlepas kepada pembangkang.”

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan turut bersama 1,000 perwakilan daripada parti-parti tempatan berasaskan Kadazandusun Murut menyertai majlis itu.

- fmt

Comment