GLOPEC lancar produk IKS ke UK
16:03 Mar 07, 2022  |  By SabahKini2
GLOPEC lancar produk IKS ke UK

Majlis pelepasan konsainan eksport telah disempurnakan oleh Pengurus Kumpulan Kanan, Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat (YS/ICSB) Zulkhairi Ismail yang mewakili Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn.

KOTA KINABALU: Konsainan pertama produk buatan Sabah melalui Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC) telah dilancarkan pada 7 Mac 2022 ke United Kingdom (UK) memberikan rangsangan positif kepada potensi produk tempatan.

Majlis pelepasan konsainan eksport telah disempurnakan oleh Pengurus Kumpulan Kanan, Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat (YS/ICSB) Zulkhairi Ismail yang mewakili Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar.
 
Pelepasan ini adalah sebahagian daripada komitmen yang dilakukan menerusi penubuhan GLOPEC, sebuah platform yang ditubuhkan pada 2021, hasil perkongsian strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk meningkatkan jejak global bagi IKS Sabah daripada segmen B40 dan M40 yang diberi mandat di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera 2020 di Sabah sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11.

Gulamhaidar berkata sejak penubuhannya, GLOPEC telah terlibat secara aktif dengan rakan usaha sama strategik antarabangsanya, agensi berkaitan perniagaan, badan pentadbir, pembekal dan pengguna, dalam menerokai jaringan kerjasama perniagaan baharu dalam pasaran global. 

"Meskipun pandemik COVID-19 telah memperlahankan perdagangan global sejak dua tahun lepas, GLOPEC sentiasa menilai dan menganalisis perkembangan perniagaan antarabangsa, serta merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan peluang perniagaan bagi produk Sabah. 

"GLOPEC juga bakal mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai pameran perdagangan antarabangsa, promosi, pameran dan forum perniagaan dalam fasa akan datang demi mempromosikan produk buatan Sabah," katanya.

Beliau berkata, walaupun persekitaran ekonomi global kian mencabar, Kumpulan Yayasan Sabah tekad membangunkan ciptaan dan inovasi baharu dalam perniagaan.

"Sememangnya, ia membantu dalam kematangan kreativiti, produktiviti, perdagangan dan ekonomi secara keseluruhan. 

"Produk IKS GLOPEC seperti makanan kesihatan berasaskan sumber semula jadi dan produk kecantikan, memenuhi keperluan pengguna global," katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan batik dan kraf berasaskan sumber hutan, kedua-duanya menunjukkan bukti jelas kemajuan pembuatan kraf tangan.

Ia jelas menunjukkan keupayaan dalam menyemai kemahiran teknikal peringkat tinggi dalam reka bentuk dan pengeluaran kepada usahawan IKS GLOPEC, seterusnya menghasilkan produk bertaraf dunia untuk pasaran global.

Comment