Covid-19 Sabah: 294 kes, terendah dalam lima bulan
22:12 Dec 05, 2021  |  By SabahKini2
Covid-19 Sabah: 294 kes, terendah dalam lima bulan

Kali terakhir Sabah mencatat jumlah kes di bawah 300 ialah pada 14 Julai lalu sebelum melonjak hingga mencapai kes empat angka bermula pada akhir Julai hingga September lalu.

 Sabah hari ini mencatat 294 kes baharu COVID-19, menjadikannya jumlah jangkitan pertama bawah 300 kes selepas hampir lima bulan.

Kali terakhir Sabah mencatat jumlah kes di bawah 300 ialah pada 14 Julai lalu sebelum melonjak hingga mencapai kes empat angka bermula pada akhir Julai hingga September lalu.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jangkitan yang dicatatkan hari ini turut menunjukkan penurunan sebanyak 57 kes daripada 351 kes yang dilaporkan semalam.

"Bagaimanapun, kes di Sabah secara keseluruhannya masih tidak menentu kerana berlaku turun naik kes setiap hari. Bagi kes hari ini, Kota Kinabalu masih mencatat jumlah yang tertinggi di Sabah dengan 60 kes," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata turun naik kes kebanyakannya disumbang melalui saringan bergejala atau dikategorikan sebagai kes sporadik.

Peratusan kes jangkitan sporadik di Sabah hari ini menurun kepada 36 peratus daripada jumlah kes harian, berbanding 38 peratus semalam dan 42 peratus kelmarin.

Seramai 380 pesakit COVID-19 pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 1,275 pesakit sedang menerima rawatan di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Comment