35,672 bakul makanan golongan sasar, operasi premis di Sabah dilanjutkan hingga 8 malam- Masidi
01:10 Oct 17, 2020  |  By SabahKini2
35,672 bakul makanan golongan sasar, operasi premis di Sabah dilanjutkan hingga 8 malam- Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata waktu operasi premis berkenaan lebih panjang iaitu dari 6 pagi hingga 8 malam. Rakyat terjejas turut diberi bantuan bakul makanan

KOTA KINABALU- Waktu operasi kedai makan, farmasi, kedai serbaneka dan stesen minyak ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah dilanjutkan sehingga 8 malam berkuat kuasa 17 Oktober.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata waktu operasi premis berkenaan lebih panjang iaitu dari 6 pagi hingga 8 malam, berbanding dari 6 pagi hingga 6 petang, sebelum ini.

"Bagaimanapun perlanjutan masa operasi ini tidak termasuk kedai runcit atau pasar mini, pasar raya besar dan pasar raya," katanya menerusi satu kenyataan

Pada Isnin (12 Okt) lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata seluruh Sabah dikenakan PKPB bermula Selasa (13 Okt) sehingga 26 Oktober ini.

Sementara itu, Masidi berkata pengagihan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar berjalan lancar dan setakat ini sebanyak 35,672 bakul makanan telah diagihkan. 

"Kepada penduduk negeri Sabah, kita kena sentiasa peka dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa. Marilah kita sama-sama memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Kes harian tinggi

 Sementara itu, dalam perkembangan berhubung laporan jangkitan Covid-19, Sabah hari ini mencatatkan sebanyak 489 kes.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan bahawa bilangan kematian adalah lima orang dan seramai 3,815 pesakit sedang menerima rawatan di dalam wad.

"Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini ialah sebanyak 6,286 kes dan sehingga hari ini, seramai 2,420 pesakit dilaporkan telah sembuh," katanya.

Terdahulu, Kota Kinabalu kekal mencatat jumlah tertinggi kes positif Covid-19 iaitu 114 kes, diikuti Sandakan (93), Tawau (77), Semporna (66) dan Lahad Datu (46).

Selain itu, Putatan mencatatkan 19 kes, Papar (17), Tuaran (10), Penampang dan Ranau masing-masing sembilan kes, Kinabatangan (5), Kudat dan Kunak masing-masing empat kes manakala Tambunan, Tenom dan Beaufort catat tiga kes, Pitas (2) dan Beluran Kota Marudu, Sipitang, Kota Belud serta Keningau masing-masing satu kes.

Senarai penuh kenyataan media boleh didapati di pautan https://command.sabah.gov.my/terkini/kenyataan-media

1 Comment