PRK Slim: BN menang besar majoriti hampir 11,000
02:08 Aug 30, 2020  |  By SabahKini2
PRK Slim: BN menang besar majoriti hampir 11,000

Mohd Zaidi memperoleh majoriti 10,945 undi, menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan Santhara Sekaran Subramaniam, yang memperoleh 276 undi.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim terus menjadi milik Barisan Nasional (BN) dengan calonnya, Mohd Zaidi Aziz memperolehi undi sebanyak 13,060.

Mohd Zaidi yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu memperoleh majoriti 10,945 undi, menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan Santhara Sekaran Subramaniam, yang memperoleh 276 undi.

Keputusan penuh PIlihan Raya Kecil (PRK)  DUN Slim itu diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya, Shamsul Ridzuan Idris di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim.

Turut mengiringi kemenangan calon BN malam ini adalah pemimpin utama parti termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

Selain Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut bersama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon serta Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi PRK DUN Slim ini juga menyaksikan BN berjaya menambah undi majoriti berbanding keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

Pada PRU-14, Mohd Khusairi memperolehi undi majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

1 Comment