Masa sudah berlalu, Musa perlu beri laluan orang lain ambil alih kata Anifah
15:08 Aug 10, 2020  |  By SabahKini2
Masa sudah berlalu, Musa perlu beri laluan orang lain ambil alih kata Anifah

Apa saja bentuk kerjasama sangat dialu-alukan. Bagaimanapun PCS dan Warisan katanya bagai langit dengan bumi. Musa pula perlu bagi laluan kepada orang lain generasi baharu untuk tadbir Sabah.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Dato’Sri Anifah Aman berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan parti tempatan lain yang mempunyai misi dan visi yang sama dengan parti diterajuinya.

Katanya PCS yang baru dijenamakan akan bergerak bersendirian bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Kita boleh bekerjasama (dengan parti tempatan lain) jika ada misi dan visi yang sama kerana matlamat kita adalah untuk berjuang untuk orang Sabah.

”Ya kalau Warisan mempunyai misi dan visi yang sama, kenapa tidak (bekerjasama), tetapi bagi saya, PCS dan Warisan ini bagai langit dengan bumi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Anifah yang juga bekas menteri luar berkata, PCS merupakan sebuah parti tulen dari Sabah yang akan memperjuangkan isu-isu penting, termasuk Perjanjian Malaysia (MA63).

”Sebagai sebuah parti tempatan, kita mahu bebas bersuara untuk mengemukakan masalah-masalah kita serta isu yang dekat di hati kita termasuk MA63.

”Saya juga ingin meminta kepada rakan-rakan di semenanjung seperti Umno, PPBM, biarlah kami uruskan negeri kami sendiri,” katanya.

Beliau berkata, setiap kali pilihan raya pemimpin dari semenanjung berduyun-duyun datang ke Sabah dan pengumuman yang dibuat ketika berkempen adalah daripada kerajaan persekutuan.

”Sebab itulah Sabah ini dikatakan sebagai ‘deposit tetap’, tetapi hanya pada masa yang diperlukan.

”Sudah tiba masanya parti tulen tempatan yang mentadbir negeri ini, tetapi ia tidak bermakna kita menentang parti di semenanjung. Kita akan bekerjasama dari segi hal-hal lain,” katanya.

”Kita juga akan mengemukakan calon berkaliber pada PRN nanti, termasuklah belia dan wanita.

”Saya juga yakin isu pecah undi tidak akan timbul sekiranya semua rakyat bersatu untuk memilih parti tempatan yang benar-benar berpandu kepada perjuangan untuk orang Sabah,” katanya.

Musa perlu beri laluan kepada orang lain

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengajak abangnya yang juga bekas ketua menteri, Musa Aman untuk menyertai PCS, Anifah berkata, beliau tidak akan berbuat demikian.

“Saya fikir beliau telah melakukan yang terbaik untuk Sabah, tetapi saya berpendapat beliau (Musa) perlu bagi laluan kepada orang lain untuk ambil alih.

“Musa adalah abang saya, sudah tentu saya sayangkan dia, tetapi politik berbeza di Kuala Lumpur. Banyak orang berbeza di sini pun (Datuk) Jefrey Kitingan dan (Tan Sri) Pairin Kitingan.

“Mereka juga berlawan, malah satu kawasan lagi. Sebagai rakyat Sabah, saya amat menghargai apa dilakukan Musa, tetapi saya fikir masa sudah berlalu, biar orang baru mengambil alih,” katanya.

 

8 Comments